SEREMBAN - Bagi menangani masalah ragut dan samun jalanan di negeri ini, polis mengambil inisiatif menggunakan khidmat anggota wanita yang ...

1:07 PM by Unknown
SEREMBAN - Bagi menangani masalah ragut dan samun jalanan di negeri ini, polis mengambil inisiatif menggunakan khidmat anggota wanita yang menyamar sebagai orang awam untuk memerangkap penjenayah.  

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Hamzah Md Jamil berkata, pelaksanaan taktikal baharu melibatkan lebih kurang 20 anggota itu sudah pun dimulakan sejak dua minggu lalu.    

“Mereka bertugas menjadi umpan untuk menangkap penjenayah. Setakat ini, kita tumpukan pada kawasan sekitar Seremban dan Nilai.      

“Memang sengaja kita dedahkan pada umum. Tujuannya, sesiapa yang teringin hendak meragut akan berfikir banyak kali sehingga terpaksa membatalkan niat. Itu dari sudut psikologinya,” katanya.

Sekali gus, katanya, polis berharap langkah sedemikian dapat menimbulkan ketakutan kepada mana-mana individu yang mahu melakukan jenayah berkenaan.

“Kita tidak mahu beri peluang kepada penjenayah untuk berasa selesa atau bebas. Sebab itu, dari semasa ke semasa, kita sentiasa menyalurkan maklumat berkaitan kepada masyarakat.

“Berdasarkan pemerhatian kita, lazimnya jenayah ragut dan samun jalanan dilakukan antara jam 7 dan 11 pagi. Mereka menyasarkan penghuni yang hendak keluar rumah,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Perhimpunan Peringatan Hari Polis ke-208 Peringkat

Kontinjen Negeri Sembilan di Sekolah Latihan Kontinjen, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Nor Azman Muhammad; Ketua Cawangan Khas negeri, Asisten Komisioner Izhar Othman serta Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Md Dali Wahid.

Sementara itu, beliau turut menegur sikap segelintir pihak yang gemar mencetuskan keresahan orang ramai melalui penyebaran berita palsu menerusi laman sosial.

“Kita tidak boleh menghalang tindakan untuk mendapatkan fakta, maklumat atau gambar dari sumber tidak diketahui kesahihannya.

“Namun, kita minta mereka yang ingin menyebarkannya supaya mempunyai rasa tanggungjawab. Bukan saja terhadap apa diedarkan, tetapi juga implikasinya kepada masyarakat,” katanya.

Oleh: KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB - Sinar harian online

Hamzah (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada 19 pegawai, 27 anggota berpangkat rendah dan 16 kakitangan awam, semalam.